Berita

Kerajaan MADANI ambil langkah awal tangani krisis tenaga meruncing

Krisis tenaga global menjadi semakin parah dan pemulihannya dijangka akan mengambil masa panjang untuk dipulihkan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam situasi yang sangat meruncing ketika ini, Malaysia masih bertahan meskipun hakikatnya situasi tersebut bukan lagi seperti biasa. 

“It is no longer business as usual,” kata beliau menerusi laman media sosialnya selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan telah bertindak awal menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat bagi menampan impak krisis dengan perbelanjaan mencecah RM4 bilion.

Jelas beliau, langkah itu diambil bagi memastikan harga RON95 kekal RM1.99 seliter dan subsidi diesel terus disalurkan kepada golongan yang layak.

Menurut beliau, langkah tambahan turut diambil untuk menjamin bekalan tenaga dan mengawal penggunaan bahan api, termasuk pelaksanaan Bekerja dari Rumah (BDR) untuk sektor awam bermula 15 April ini.

“Dalam saat mencabar ini, kita perlu menghadapinya dengan kebijaksanaan, disiplin dan tanggungjawab bersama. 

“Insya-Allah, kita mampu mengharungi cabaran ini bersama,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI