Berita, Siaran Media

Malaysia rekod 42.2 juta ketibaan pelancong antarabangsa tahun lalu

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa apabila beberapa negara di Asia dan Asia Barat mencatat lonjakan ketibaan pelawat sepanjang tahun lalu hingga awal tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, peningkatan tersebut dipacu oleh rangkaian penerbangan antarabangsa yang semakin kukuh, kemudahan perjalanan yang dipertingkat serta promosi agresif menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Tahun lalu, Malaysia merekodkan 42.2 juta ketibaan pelancong antarabangsa, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus mengatasi paras sebelum pandemik COVID-19.

“Beberapa negara mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong yang ketara ke Malaysia antaranya India, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Arab Saudi, Turkiye, United Kingdom, Australia dan Taiwan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut King Sing berkata, pengukuhan rangkaian penerbangan antara Malaysia dan China dijangka terus merancakkan aliran pelancong kedua-dua negara.

Malah, pertambahan laluan dan kekerapan penerbangan Malaysia dan China akan memudahkan pergerakan pelancong serta meningkatkan jumlah ketibaan pelawat dari negara tersebut

Malah, dasar kemasukan tanpa visa turut memainkan peranan penting bagi menarik lebih ramai pelancong dari pasaran utama seperti China dan India.

Katanya langkah berkenaan bukan sahaja memudahkan perjalanan pelancong, malah meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia.

Katanya pihaknya sentiasa optimis bahawa peningkatan sambungan udara dan kemudahan perjalanan mampu membantu negara dalam mencapai sasaran 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa menjelang TMM2026. – MalaysiaMADANI