Berita, Siaran Media

MINDEF sedang pertimbang laluan khas kepada veteran TLDM 

 

Cadangan mewujudkan laluan khas bagi menempatkan veteran tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke agensi penguatkuasaan maritim negara masih dalam pertimbangan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata, inisiatif itu bertujuan memanfaatkan kepakaran serta pengalaman anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di samping membantu kerajaan menjimatkan kos dan tempoh latihan asas.

“Pengambilan anggota penguat kuasa baharu lazimnya memerlukan tempoh latihan sehingga enam bulan yang melibatkan kos tinggi serta penggunaan kepakaran tertentu.

“Jadi, pengambilan veteran ATM mampu memendekkan tempoh tersebut kerana mereka sudah memiliki kemahiran dan pengalaman operasi yang relevan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adly berkata pengambilan berkenaan  diyakini boleh menjimatkan masa sehingga enam dan melibatkan kos dan kepakaran.

“Apabila pengambilan penguat kuasa baharu, latihan boleh mengambil masa sehingga enam bulan dan melibatkan kos serta kepakaran tertentu.Jika kita mengambil veteran ATM, kita dapat menjimatkan tempoh itu dan ia memberi manfaat baik kepada masa depan negara,” katanya.

Beliau menambah kementeriannya melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) terus komited dalam meningkatkan taraf sosioekonomi Veteran ATM.

Malah ia diperluas menerusi pelaksanaan Inisiatif Kerjaya Kedua Veteran ATM, khususnya bagi mereka yang masih berada dalam umur produktif dan berkeupayaan untuk bekerja.

Usaha ini terang beliau jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan serta kebolehpasaran Veteran ATM sentiasa diperkasa selaras dengan keperluan industri semasa. – MalaysiaMADANI