Berita

Benteng utama pertahanan negara, ATM terus diperkasa

Kesiapsiagaan serta keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperkasa dari masa ke masa sebagai persiapan mendepani cabaran dan ancaman geo-strategik yang semakin kompleks. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara penting itu dibincang dalam mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan kepimpinan ATM.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau berkata, satu taklimat berhubung beberapa keputusan strategik yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan negara telah dibincangkan secara bersama.

“Perbincangan ini amat mustahak bagi memastikan kesiapsiagaan serta keupayaan ATM terus diperkasa dalam mendepani cabaran dan ancaman geo-strategik yang semakin kompleks. 

“ATM kekal sebagai benteng utama pertahanan negara dan simbol kedaulatan yang wajib dipelihara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau lagi, menjadi satu kepentingan kepada kerajaan untuk menjaga kebajikan warga Kementerian Pertahanan, khususnya berkaitan isu perumahan kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga anggota. 

Untuk itu kata beliau, Kerajaan MADANI kekal fokus untuk terus meletakkan kebajikan pegawai, anggota serta keluarga pasukan keselamatan sebagai keutamaan.

“Usai mesyuarat, saya berkesempatan menghadiri majlis tazkirah di Masjid Khalid Bin Al Walid sempena program Ihya Ramadan bersama warga kementerian dan kemudiaan menunaikan solat Zuhur bersama-sama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI