Kesungguhan pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan memastikan keamanan negara mendapat penghargaan berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat dan pengorbanan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi di bawahnya yang sentiasa memastikan keamanan dan ketenteraman negara terus terpelihara.
Dalam tempoh kebelakangan ini, beliau berkata, pelbagai kejayaan dicapai termasuk usaha mengekang ketirisan, memperkukuh kawalan sempadan serta membanteras jenayah dan penyeludupan yang menyelamatkan hasil negara bernilai besar.
“Pencapaian ini menjadi bukti kesungguhan jentera keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan, undang-undang serta kesejahteraan rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu beliau meluangkan masa bersama warga KDN pada hari pertama Ramadan di Madrasah Ruhiyah.
Perdana Menteri berkata, Ramadan merupakan waktu terbaik untuk bermuhasabah, memperbaiki diri serta memperkukuh nilai, disiplin dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Tambah beliau, Ramadan juga mengingatkan bahawa amanah yang dipikul mesti dilaksanakan dengan lebih teliti, jujur dan berintegriti.
Menurut beliau, masyarakat yang berjaya tidak boleh leka atau berasa selesa dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus berusaha memperbaiki setiap kelemahan.
Jelas beliau, setiap teguran wajar diterima dengan lapang dada, manakala penambahbaikan perlu dilaksanakan secara berhemah, tersusun dan berterusan.
“Saya yakin dengan semangat islah dan disiplin Ramadan, warga KDN akan terus meningkatkan prestasi, memperkukuh integriti serta melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab demi memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan dihormati,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
