Program Malaysia My Second Home (MM2H) bukan sekadar satu dasar, tetapi mesej yang jelas bahawa Malaysia bersedia membuka pintu kepada komuniti antarabangsa, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sejak kerangka baharu MM2H diluluskan Kabinet pada 21 Mei 2024 serta pengambilalihan rasmi program itu pada 15 Oktober 2023, keyakinan terhadap inisiatif berkenaan meningkat dengan ketara.
Malah katanya, operasi melalui Pusat Sehenti (OSC) MM2H yang bermula pada 18 Disember 2023 turut menyumbang kepada prestasi program, termasuk dari segi jumlah lesen pengendali dan penyertaan peserta.
“Sehingga 11 Februari 2026, sebanyak 255 lesen pengendali telah dikeluarkan dan prestasi sebenar dapat dilihat melalui angka penyertaan yang meningkat dengan signifikan pada 2025.
“Bagi 2024 dan 2025 sahaja, seramai 9,511 peserta diluluskan di bawah pelbagai kategori termasuk Platinum, Gold, Silver serta Zon Ekonomi Khas/Zon Kewangan Khas,” katanya seperti dipetik Awani.
Pencapaian itu katanya bukan sekadar angka, tetapi memberi sumbangan ekonomi nyata yang impaknya dirasai negara.
“Tahun 2024, program ini menyumbang fi penyertaan berjumlah RM3.3 juta dan akaun simpanan tetap mencecah RM550.8 juta.
Pada 2025 pula, sumbangan meningkat kepada RM10.5 juta bagi fi penyertaan, akaun simpanan tetap RM1.8 bilion serta pembelian rumah bernilai RM1.5 billion,” katanya lagi. – MalaysiaMADANI
