Berita, Siaran Media

Fadhlina mahu Sekolah Sukan Pahang terus hebat, lahir ramai jaguh sukan

Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) perlu terus hebat, melahirkan lebih ramai jaguh sukan yang membanggakan negara di persada antarabangsa pada masa hadapan.

Pesanan itu disampaikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kepada Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa ketika membuat lawatan projek pembinaan bangunan dan kemudahan tambahan di SSMP, baru-baru ini.

“SSMP hebat dalam sukan ragbi. Saya mengikuti rapat perkembangan pasukan ‘Falcons’ yang berjaya mengungguli kejohanan berprestij peringkat kebangsaan, Super Schools Rugby 2025.

“ Dan yang terkini, muncul juara Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah Bawah 19 Tahun 2026,” katanya.

Projek pembinaan bangunan dan kemudahan tambahan itu merangkumi pembinaan asrama, astaka berbumbung, dewan serbaguna terbuka, kuarters, padang hoki sintetik, padang latihan serta pelbagai kemudahan lain.

Katanya apabila siap nanti, projek pembinaan ini akan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sedia ada bagi menampung keperluan di SSMP, sekaligus memastikan persekitaran pembelajaran dan latihan sukan yang lebih kondusif untuk atlet murid, guru dan seluruh warga sekolah.

“Semoga SSMP terus cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sukan negara,” katanya. – MalaysiaMADANI.