Berita, Siaran Media

Silat perlu dipelihara sebagai warisan budaya, jati diri bangsa – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu seni bela diri silat terus diperkasa kerana ia bukan sekadar pewaris tradisi.

Katanya, seni silat merupakan madrasah pembentukan insan yang mendidik kekuatan dengan kesabaran, keberanian dengan kebijaksanaan serta ketegasan yang berpaksikan adab, akhlak dan ihsan.

“Sejak berabad lamanya, silat mengajarkan kita erti ketenangan dalam menghadapi cabaran, kebijaksanaan mengawal emosi sebelum mengatur langkah serta menjunjung persaudaraan sebagai teras kekuatan,” katanya ketika menghadiri Himpunan Gema Pendekar MADANI Zon Utara 2026 serta Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr. Raja Abdul Majid, di Sungai Petani.

Mengulas lanjut,  Anwar berkata, walaupun negara kini mencatatkan kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan, teknologi digital dan pembinaan pusat data, silat perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya serta jati diri bangsa.

“Bagi pihak Kerajaan MADANI… kita akan terus bekerja memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang hebat dan berjaya di rantau Asia… 

“Tetapi kita juga mahu negara ini berakar ke bumi, orang Melayu tidak hilang jati diri… nak angkat martabat, harakat dan darjat bangsa dengan menimba ilmu yang baharu tetapi masih berakar kepada sejarah bangsa termasuk seni silat,” katanya.

Tambah beliau, Pendekar MADANI adalah satu amanah besar untuk mengangkat martabat bangsa melalui penguasaan ilmu baharu, tanpa mengorbankan nilai, adab dan warisan. – MalaysiaMADANI