Berita

Darjah satu seawal enam tahun dan lima tahun bagi prasekolah mulai 2027

Pendidikan prasekolah akan bermula seawal usia lima tahun manakala darjah satu pula akan bermula pada usia enam tahun, berkuat kuasa mulai tahun depan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Bagaimanapun perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa kerana bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik.

“Sekarang ini anak-anak masuk darjah satu berumur tujuh tahun. Mulai tahun depan, pra-sekolah lima tahun, darjah satu enam tahun.

“Dulu umur tujuh tahun baru layak, tetapi sekarang umur lima tahun sudah pandai dan lebih matang,” katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, kemasukan darjah satu pada usia tujuh tahun masih dibenarkan, namun ibu bapa digalakkan membuat persiapan lebih awal dengan menghantar anak berusia lima tahun ke pra-sekolah.

Katanya persiapan pelaksanaan dasar berkenaan perlu dipercepatkan dan telah mengarahkan tindakan segera oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi bagi memastikan kemudahan asas ditambah dan diperkukuh.- MalaysiaMADANI