Berita, Siaran Media

Anwar mahu perkukuh hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan

KERAJAAN Madani akan terus memperkukuh urusan hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan demi kesejahteraan umat Islam dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen berkenaan hanya boleh dicapai melalui semangat musyawarah antara negeri, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta didukung oleh nilai dan aspirasi Malaysia MADANI demi kesejahteraan umat dan keharmonian negara yang berpanjangan.

“Alhamdulillah, pagi ini saya menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 yang dipengerusikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah dan nasihat Tuanku yang menekankan amanah kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal ehwal Islam amat bermakna dan wajar dihayati bersama sebagai panduan dalam mendepani cabaran semasa, di samping membina kekuatan nilai, ilmu dan nurani umat Islam di negara ini,” katanya.

Terdahulu beliau hadir Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan timbalannya Marhamah Rosli, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Mesyuarat MKI ke-74 merupakan mesyuarat ketiga yang dipengerusikan Sultan Nazrin dalam tempoh masa baginda diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja bermula 10 Mac 2024 dan akan berakhir pada 9 Mac ini.

Anwar pada masa sama menjelaskan mesyuarat berkenaan mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam merangka pandangan serta keputusan strategik demi kepentingan umat Islam, selaras dengan keperluan semasa dan realiti masyarakat majmuk di negara ini. – MalaysiaMADANI