Berita

JAIS bekerjasama PDRM pastikan program Glamping With Pride tidak diteruskan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk memantau dalam usaha  memastikan program ‘Glamping With Pride’ yang akan dianjurkan Sabtu tidak diteruskan.

Penegasan tersebut diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sambil berkata akan menyerahkan siasatan berhubung program itu kepada pihak berkuasa.

“Jakim akan bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa untuk memantau supaya penganjur tidak meneruskan hasrat itu.

“Jabatan Agama Islam Selangor pula akan mengambil tindakan susulan bersama dengan pihak polis,” katanya.

Terdahulu, Jakim memaklumkan pihak berkuasa memantau rapi penganjuran program itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha atau pendekatan yang bertujuan menormalisasikan perlakuan seks songsang.

Sebelum ini media melaporkan program Glamping with Pride yang dijadual di Hulu Langat akan diteruskan Sabtu ini meskipun menerima bantahan daripada pelbagai pihak.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

Perkara berkenaan mendapat reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz yang menggesa pengusaha chalet dan resort untuk tidak berkerjasama kepada penganjuran program yang dikaitkan dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) itu.

Malah, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut memaklumkan akan turun padang bagi memastikan program itu diteruskan.

Dalam pada itu, Zulkifli menasihatkan orang ramai agar memberi tumpuan kepada perkara yang lebih konstruktif dan tidak membiarkan isu-isu kecil menghalang usaha memajukan masyarakat.

Katanya, peranan hal ehwal agama adalah untuk memberi pencerahan, membina kecerdasan dan membentuk pemikiran masyarakat yang lebih dinamik dan progresif, di samping meneruskan usaha mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan. – MalaysiaMADANI