Berita

Pelaksanaan projek baharu berada di landasan tepat

Perancangan pembangunan negara secara lestari demi kesejahteraan rakyat terus dilaksanakan Kerajaan MADANI dari semasa ke semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu taklimat mengenai perkembangan terkini beberapa projek pembangunan utama di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dibentangkan kepadanya.

Beliau berkata, antara projek baharu seperti Kota MADANI Putrajaya dan Bandar MADANI Bukit Jalil berada di landasan yang tepat.

“Penerapan sepenuhnya elemen-elemen MADANI ke dalam projek tersebut termasuk konsep sekolah vertikal dan kemudahan komuniti yang lebih bersepadu,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, projek pembangunan semula di beberapa lokasi strategik turut diberi perhatian rapi, selain turut meneliti isu berkaitan pembinaan Masjid MADANI.

Tegas Perdana Menteri, beliau juga mengarahkan agar proses pembinaan dipercepatkan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya tanpa berlengah.

Menurut beliau lagi, kerajaan kekal fokus dalam memastikan setiap pembangunan bandar memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Jelas beliau, antara pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan adalah peningkatan infrastruktur, penyediaan kemudahan moden, hinggalah pemeliharaan identiti dan warisan bandar. 

“Insya-Allah, usaha bersepadu ini menjadi sebahagian daripada ikhtiar kita untuk membina bandar yang lestari, inklusif dan progresif,” kata beliau. -MalaysiaMADANI