Keberkesanan perkhidmatan awam sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI terutama dalam memastikan keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat perlu berfungsi dengan baik dan tidak membebankan rakyat.
Berkongsi kesungguhan kerajaan dalam perkara itu, beliau berkata, program Rancakkan MADANI dilaksanakan bagi menonjolkan kejayaan yang telah dicapai.
“Hari ini saya meninjau persiapan promosi Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku (Rancakkan MADANI) dan Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam 2025.
“Kesempatan yang ada digunakan untuk menyantuni pengguna MRT dari Cyberjaya City Centre ke Putrajaya Sentral,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Shamsul meluangkan masa bersama kakitangannya menaiki MRT bagi mempromosikan Program Rancakkan MADANI yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.
Mengulas mengenai kemudahan pengangkutan awam, beliau berkata, kecekapan MRT yang beroperasi pantas dan mesra pengguna merupakan satu kebanggaan kepada negara.
Jelas beliau, ia mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh mobiliti awam serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Menurut beliau, usaha murni itu selaras dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
“Orang ramai dijemput ke Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku pada 5 hingga 7 Disember 2025 di Dataran Putrajaya untuk melihat pelaksanaan sebenar inisiatif ARPA dan hala tuju perkhidmatan awam yang lebih inklusif.
“Reformasi perkhidmatan awam untuk anda!,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
