Inisiatif menyediakan kemudahan pembelajaran terbaik kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar dan masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan MADANI.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membantu menyediakan kawasan pembelajaran kondusif tetap dilaksanakan sebaiknya.
Beliau berkata, KPM sekali lagi melangkah ke hadapan apabila Program Sekolah Terapung Tasik Banding, Perak berjalan lancar dan telah mula beroperasi pada Oktober lalu.
“Program ini dirangka khas bagi menjamin akses pendidikan kepada murid Orang Asli di kawasan Tasik Banding dan Tasik Temenggor, Gerik, Perak,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, Program Sekolah Terapung dilaksanakan menggunakan ‘houseboat’ yang berfungsi sebagai ruang pembelajaran mudah alih.
Tambahnya lagi, menerusi program tersebut, anak-anak Orang Asli dari kampung berdekatan akan dibawa ke houseboat tersebut bagi mengikuti proses pembelajaran.
Kata beliau, seramai 47 orang murid berumur antara enam hingga 16 tahun dari Kampung Charuk Bus, Kampung Tebang dan Kampung Choong telah menyertai program itu.
Jelasnya, kelas dijalankan pada setiap hari Isnin hingga Rabu setiap minggu, dengan kehadiran dua orang guru dari SMK RPS Kemar K11 sebagai tenaga pengajar.
“Walaupun selalu berdepan dengan pelbagai cabaran, KPM tetap teruskan usaha. KPM tetap berpegang kepada perjuangan yang perlu disanjung. Inilah tekad Kerajaan Madani,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
