Kerajaan memperkenalkan Skim kelayakan berperingkat bagi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk pemandu e-hailing yang akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, langkah tersebut dibuat sebagai sebahagian penambahbaikan dalam usaha memastikan pelaksanaan subsidi bersasar yang saksama bagi melindungi pemandu e-hailing.
“Tahap kelayakan siling bulanan BUDI95 bergantung kepada jumlah jarak perjalanan dan bagi pemandu e-hailing yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer, mereka layak menerima 300 liter seperti sedia ada.
“Manakala bagi pemandu yang memandu antara 2,000 hingga 5,000 kilometer pula mereka akan menerima tambahan 300 liter menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter.
“Selain itu mereka yang melebihi 8,000 kilometer layak memperoleh 800 liter sebulan iaitu tambahan 500 liter,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, MoF memaklumkan jarak perjalanan seseorang pemandu e-hailing akan dikira berdasarkan jumlah data perjalanan yang direkodkan oleh semua Syarikat Pengendali E-Hailing (EHO), dan akan dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.
“Setiap EHO bertanggungjawab mengemukakan rekod perjalanan bulanan pemandu e-hailing secara tepat, sahih dan lengkap kepada APAD serta LPKP Sabah dan Sarawak pada setiap awal bulan,” katanya.
Langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan jumlah kelayakan BUDI95 pada setiap peringkat adalah mencukupi untuk menampung jarak perjalanan harian majoriti pemandu e-hailing.
Pada masa sama, kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan bagi membolehkan syarikat pengendali teksi lapangan terbang memohon fleet card di bawah Skim Kawalan Petrol dan Diesel Bersubsidi (SKPS) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Langkah yang dibuat ini, kata MoF selari dengan pelaksanaan sedia ada bagi kategori teksi dan kereta sewa yang layak menerima sehingga 800 liter petrol RON95 bersubsidi setiap bulan.
Bagaimanapun jelas kenyataan berkenaan limousin yang beroperasi di lapangan terbang dan tidak dikawal selia APAD tidak layak untuk memohon fleet card di bawah SKPS. – MalaysiaMADANI
