Berita

Pengecualian bayaran balik PTPTN graduan IPTS sedang diteliti

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menilai pelaksanaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Perkara itu dinyatakan Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berikutan  sistem penilaian akademik di IPTS tidak seragam seperti di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekali gus memerlukan mekanisme lebih teliti sebelum diputuskan.

“Ini tidak bermakna kerajaan menolak kemungkinan itu, tetapi kita perlu memastikan mekanisme diguna pakai bagi IPTS adalah adil, tepat dan mengambil kira perbezaan sistem penilaian yang wujud antara institusi,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mengulas lanjut Zambry berkata, kerajaan juga sedang menyelaras semula keseluruhan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk integrasi teknologi baharu bagi memastikan kursus yang ditawarkan IPT adalah benar-benar selaras permintaan industri.

Usaha berkenaan akan terus diperkukuh dengan  dengan pemain industri global seperti Geely serta BYD yang sedang melaksanakan pelaburan besar dalam sektor automotif, elektrik dan teknologi tinggi di Malaysia

“Antara pembaharuan terbesar ialah memperkenalkan konsep ’embedded AI’, iaitu penerapan unsur kecerdasan buatan (AI) dalam semua kurikulum TVET di politeknik, kolej komuniti dan institusi berkaitan, sebagai persediaan menghadapi lonjakan sektor teknologi global,” katanya. – MalaysiaMADANI

.