Berita

AYOS bukti kerjasama erat negara ASEAN perkasa tenaga kerja serantau

Malaysia mencapai kejayaan melakukan kerjasama bersama negara-negara ASEAN dalam memperkukuh agenda pembangunan kemahiran serantau dengan lebih efisien.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, ASEAN Year of Skills (AYOS)  menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh tenaga kerja serantau yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing, khususnya dalam ekonomi digital dan hijau. 

“Malaysia melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan HRD Corp akan komited memperluas latihan, inovasi dan mobiliti bakat bagi memperkasakan tenaga kerja ASEAN,” kata beliau menerusi media sosial Kesuma.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena penganjuran Gala Dinner AYOS 2025 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Shangri-La Kuala Lumpur. 

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Majlis itu turut menampilkan pembentangan Laporan Pencapaian AYOS 2025 serta tayangan khas ‘Colours of Success’ yang menonjolkan kejayaan negara anggota dalam memperluas latihan kemahiran, integrasi tenaga kerja dan pembangunan modal insan.

Sementara itu, Fadillah dalam ucapan perasmiannya berkata, Malaysia menghargai komitmen semua negara ASEAN yang terus berganding bahu memperkukuh pembangunan tenaga kerja.

Jelas beliau, kerjasama erat itu sejajar dengan ASEAN Vision 2045 dan gagasan Malaysia MADANI berteraskan Daya Cipta, Keterangkuman dan Kesejahteraan.

Gala Dinner ini turut diserikan dengan persembahan budaya bertemakan “Colours of Success” yang melambangkan semangat perpaduan dan kepelbagaian ASEAN dalam membina tenaga kerja inklusif, mampan dan berdaya tahan. – MalaysiaMADANI