Seluruh petugas awam dan swasta yang terlibat dalam penganjuran Sidang kemuncak ASEAN ke-47 diseru berganding bahu bagi memastikan kelancaran program termasuk menampilkan sikap kemesraan, profesional, ketinggian budi.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi hantaran di Facebook berkata, tindakan itu selari dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang menjadi simbolik kepada kesatuan, kesejahteraan, kemakmuran dan prinsip saling menghormati dalam kalangan negara ASEAN.
“Menjelang tiga hari lagi penganjuran program berprestij Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Malaysia selaku tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025 pastinya telah bersedia dan mengalu-alukan kehadiran ramai pemimpin utama dunia dan delegasi antarabangsa.
“Buat seluruh petugas awam dan swasta baik di lapangan terbang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hotel penginapan termasuk barisan pasukan keselamatan, perubatan dan seluruh rakyat Malaysia, saya menyeru tampilkan sikap kemesraan, profesional, ketinggian budi dan bersama berganding bahu dalam memastikan kelancaran program.
“Citra kebudayaan dan keunikan kepelbagaian yang ada di Malaysia pastinya menjadi tumpuan dunia. Hulurkan salam, lemparkan senyuman. Biar satu dunia tahu, Malaysia hebat!,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober ini, dengan lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi serta pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN kali ini dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini dengan kehadiran kuasa besar yang berpengaruh.
Persidangan kali ini juga dijangka menjadi penganjuran terbesar sejak edisi pertamanya pada 1976. – MalaysiaMADANI
