Satu dasar sedang dipertimbangkan dan dimuktamadkan sebagai tindak balas proaktif terhadap cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks, menerusi pendekatan bersepadu yang dipacu misi dan berteraskan bukti, kata Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dasar tersebut jelas beliau akan memberi penumpuan kepada pengeluaran pertanian dan agromakanan yang cekap dan produktif, kemampanan sistem agromakanan, diplomasi makanan serantau, pemakanan sihat dan seimbang dan pertumbuhan ekonomi yg terangkum.
“Dasar ini turut akan diperkukuh dengan perundangan khusus bagi menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan dasar serta tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian yang terlibat.
Langkah ini penting bagi memperkukuh tadbir urus, selain memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan di Putrajaya, semalam.
Pada mesyuarat berkenaan Anwar turut menyentuh mengenai strategi untuk memangkin industri pertanian secara menyeluruh.
Jelas beliau seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sektor pertanian perlu diperkukuh melalui pendekatan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan teknologi. – MalaysiaMADANI