Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau persiapan akhir lokasi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) minggu depan.
Dalam lawatan berkenaan beliau menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi untuk memastikan sidang itu memberi kesan yang bermakna kepada rantau ini.
Katanya setiap perbincangan di Sidang kemuncak ASEAN Ke-47 akan memberi impak nyata selain boleh memperkukuhkan kesepaduan serantau dan membawa manfaat kepada seluruh negara anggota serta rakan-rakan dialog yang terlibat.
“Sebagai Pengerusi, kita harus memastikan setiap perbincangan yang berlangsung memberi impak nyata, memperkukuh kesepaduan serantau dan membawa manfaat kepada seluruh negara anggota serta rakan-rakan dialog yang terlibat,” katanya.
Beliau menghabiskan masa kira-kira 30 minit untuk meninjau keadaan semasa termasuk penyediaan dewan, kemudahan serta susun atur keselamatan bagi memastikan perjalanan lancar.
Pada masa sama seluruh agensi kerajaan katanya diarahkan untuk bekerjasama dan melaksanakan persiapan terbaik bagi memastikan kelancaran acara berprestij berkenaan.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persiapan sidang tersebut.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus dalam memastikan segala urusan persiapan ini berjalan lancar,” katanya lagi.
Sidang kemuncak ASEAN bakal bermula pada 26 hingga 28 Oktober ini dan dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini, dengan kehadiran kuasa besar dunia yang berpengaruh.
Anwar sebelum ini berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump antara yang dijangka hadir.
Malah penyertaan pelbagai negara bukan Rakan Dialog ASEAN yang mengesahkan kehadiran pada sidang kemuncak itu antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Giorgia Meloni (Itali).
Turut hadir adalah Presiden Luis Inacio Lula da Silva (Brazil), Presiden Cyril Ramaphosa (Afrika Selatan).
Selain rakan dialog ASEAN terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan United Kingdom. – MalaysiaMADANI