Kesemua aktivis dan peserta Global Sumud Nusantara kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas melalui proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan yang padat di Turkiye.
Memetik laporan Awani, rombongan berkenaan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 malam ini (7 Oktober).
Usaha membawa pulang kumpulan aktivis ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Amiri Bakar yang memainkan peranan penting di lapangan bagi memastikan kelancaran urusan mereka.
Walaupun penat selepas beberapa hari melalui proses pentadbiran dan perjalanan yang panjang, semua aktivis dilihat bersemangat dan bersyukur dapat kembali ke tanah air.
Semangat mereka kekal tinggi, mencerminkan keteguhan dan kesungguhan dalam memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Palestin.
Misi Global Sumud Nusantara telah menarik perhatian dunia sebagai lambang solidariti masyarakat sivil antarabangsa terhadap perjuangan Palestin, dengan penyertaan rakyat Malaysia membuktikan komitmen negara terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika ini bersama Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim di Istanbul.
Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengamanahkannya untuk membantu mempermudahkan segala urusan sukarelawan Malaysia di Istanbul dan membawa mereka pulang dengan selamat.
Kepulangan mereka kelak bukanlah pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin, tetapi menjadi lambang bagaimana negara kecil seperti Malaysia ini tetap utuh dengan prinsipnya serta memiliki rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar.
Menurut Ahmad Farhan, hampir keseluruhan sukarelawan berada dalam keadaan sihat dan akan dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin.
“Malah, mereka kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin. – MalaysiaMADANI