Berita

Integriti kukuh bantu negara capai kecemerlangan

Teras tatakelola Kerajaan MADANI bertunjangkan barisan kepimpinan yang amanah serta berprinsip memastikan sistem pentadbiran negara berfungsi dengan baik bagi memberi khidmat kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, negara pastinya tidak akan mencapai kejayaan sekiranya tanpa ada asas integriti yang kukuh dalam diri setiap orang terutama daripada golongan pemimpin.

Namun begitu beliau berkata, topik integriti jarang dijadikan wacana utama dalam politik dan naratif awam. 

“Rasuah dan kebobrokan nilai dianggap biasa hingga menular menjadi sistemik. Inilah cabaran paling besar yang mesti dihadapi dengan tekad dan keberanian moral,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Jelas beliau, sejarah telah membuktikan keagungan satu-satu sistem pemerintahan atau kerajaan lahir daripada kekuatan dalaman seorang pemimpin. 

Menurut beliau, Salahuddin Al Ayyubi ketika satu dekad awal pemerintahannya menumpukan pada integriti, disiplin dan budaya ilmu, sebelum muncul sebagai panglima besar menakluki Baitulmuqaddis.

Tambah beliau, falsafah Ibnu Khaldun juga membuktikan bahawa kebangkitan atau keruntuhan tamadun bergantung pada nilai. 

Tegas beliau, ‘Esprit de corps’ atau semangat kebersamaan menjadi tunjang, manakala rasuah dan sikap permisif membawa kepada kemerosotan. 

Untuk itu kata beliau, bagi mengangkat semula martabat Malaysia, negara memerlukan satu anjakan paradigma yang digerakkan oleh keyakinan dan keberanian membawa perubahan.

“Reformasi bukan sekadar digitalisasi atau transisi tenaga. Ia menuntut pencerahan nilai, pengukuhan etika dan budaya ilmu yang hidup dalam masyarakat. 

“Hanya dengan asas ini Malaysia boleh membina tamadun yang tidak sekadar hebat teknologinya, tetapi luhur jiwa dan akhlaknya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI