Berita

Bakat dunia, Malaysia lonjak tangga ke-25

Malaysia melakar kejayaan baharu di pentas global apabila melonjak lapan anak tangga untuk berada di tangga ke-25 dalam Penarafan Daya Saing Bakat Dunia (IMD World Talent Ranking) 2025. 

Menurut kenyataan media Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), ia merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam tempoh lima tahun, sekali gus menyaksikan negara kini berada di tangga kelima dalam kalangan negara Asia-Pasifik selepas Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia.

“Peningkatan ini mencerminkan pelaburan strategik negara dalam pendidikan, kesiapsiagaan kemahiran serta pengekalan bakat tempatan, menjadikan Malaysia antara destinasi utama profesional global,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Kong menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil pendekatan holistik Kesuma dalam membina ekosistem bakat yang menyelaras dasar tenaga kerja, pembangunan kemahiran, latihan industri serta kerjasama erat dengan sektor swasta dan akademia.

“Transformasi struktur Kesuma memberi penekanan kepada pemerkasaan dasar, peningkatan kemahiran serta pemahiran semula agar tenaga kerja negara kekal kompetitif dan bersedia menghadapi perubahan pekerjaan baharu,” ujarnya.

Menurut beliau, bagi memperkukuh kumpulan bakat masa depan, TalentCorp di bawah Kesuma turut menggerakkan Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dan program Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) sebagai platform penyelarasan kemahiran mengikut sektor.

Jelas beliau, inisiatif tersebut sejajar dengan amalan antarabangsa yang menekankan penglibatan majikan serta integrasi kemahiran insaniah dan teknikal bagi memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri.

“Kesuma membuktikan bahawa pendekatan bersepadu meliputi pendidikan, latihan, penyelidikan, kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat global dan dasar tenaga kerja adalah kunci untuk menjadikan Malaysia sebagai hub bakat serantau yang kompeten, adaptif dan mampan, sekali gus memacu daya saing ekonomi negara di peringkat global,” tambahnya. -MalaysiaMADANI