Berita

‘Maklum KPT jika ada kekangan daftar ke universiti’ – Dr Zambry

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan untuk membantu pelajar yang ditawarkan ke universiti sekiranya berdepan halangan dan bebanan kewangan.

Perkara itu dinyatakan menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menasihatkan kepada pelajar berkenaan supaya segera memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak KPT.


“Kepada semua yang mendapat tempat sambung pengajian jika ada sebarang masalah atau kekangan kewangan atau apa sahaja halangan tolong hubungi dan maklum kepada pihak KPT.

“Daftar dulu dan saya meminta semua Naib Canselor untuk membantu memudahcara semua pelajar untuk mendaftar,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata, KPT menyediakan pelbagai bantuan kewangan termasuk Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan bantuan awal pengajian Yayasan Perkara Siswa (YPS).

Terdahulu  beliau berkongsi kisah dua pelajar cemerlang Ikram dan Fairuz yang  berkemungkinan menolak tawaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis serta Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah kerana kekangan kewangan dan ketidakmampuan.

kesempitan hidup yang dialami dua orang sepupu itu dikongsikan seorang pengguna Facebook Wan Nurfarahin Wan Roslee yang kemudian menandakan Zambry sebelum pegawai Menteri Pendidikan Tinggi berkenaan segera menghubunginya untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua pelajar itu sanggup bekerja sebagai pembantu kedai burger dengan pendapatan RM20 sehari bagi menampung perbelanjaan, walaupun memperoleh keputusan cemerlang di matrikulasi iaitu Ikram Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 dan Fairuz PNGK 3.92. – MalaysiaMADANI