Transformasi digital menjadi teras pembangunan ekonomi negara apabila Malaysia merekod pelaburan besar dalam sektor semikonduktor dan E&E.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sangat menghargai keberanian universiti awam yang pantas menyahut cabaran dengan menubuhkan fakulti baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta mempercepatkan penyelidikan dan latihan.
“Namun saya juga mengingatkan tentang ‘productivity paradox’, yakni pelaburan berbilion dalam AI dan digital yang tidak diterjemah kepada produktiviti yang seimbang.
“Malah jurang digital yang melebar dan membengkak berpotensi menjejaskan cita-cita kita terhadap keadilan sosial, menyebabkan desa dan pedalaman terus ketinggalan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Meskipun begitu tegas beliau, sehebat mana pun teknologi, ia tidak boleh terpisah daripada nilai manusiawi.
Menurut beliau, AI hanya akan adil dan bermanfaat jika berakar pada etika, budaya, sejarah dan akhlak yang selari dengan nilai serta keyakinan, supaya mencerminkan kebenaran, bukan sekadar kepintaran tanpa jiwa.
Kata beliau, apa yang terjadi di Gaza, teknologi canggih dan AI dijadikan senjata untuk mengabsahkan kezaliman, menindas tanpa belas, melanggar kewarasan akal serta melampaui batas kemanusiaan.
“Maka dalam keghairahan kita untuk ‘menggapai di langit,’ jangan sesekali dilupakan tekad untuk ‘mengakar ke bumi,’ berpaut pada nilai, budaya, sejarah, agama dan akhlak,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI