Berita

ACWA Power pilih Malaysia sebagai hab utama di Asia Tenggara

Kerajaan mengalu-alukan keputusan peneraju global dalam tenaga boleh baharu dan hidrogen hijau dari Arab Saudi, ACWA Power apabila memilih Malaysia sebagai hab utama syarikat itu di Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu menjadi satu lagi perkembangan positif hasil kerjasama erat Malaysia dan Arab Saudi.

Beliau berkata, berita baik itu dicapai selepas pertemuannya dengan pengasas ACWA Power semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Pelaburan ini mengiktiraf dasar peralihan tenaga Malaysia, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memacu pemindahan teknologi,” kata Perdana Menteri menerusi laman media sosialnya.

ACWA Power kini menjalin kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), UEM Lestra dan Terengganu Inc. untuk membangunkan projek tenaga boleh baharu, hidrogen dan CCGT, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Komitmen ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam tenaga mampan serantau dan menyokong usaha ke arah ekonomi rendah karbon. -MalaysiaMADANI