Berita

Tiga hospital utama di Johor dinaik taraf, isi kekosongan jawatan kritikal

Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju terhadap keperluan segera untuk mengisi kekosongan jawatan, memperbaiki fasiliti serta menaik taraf kemudahan di tiga hospital utama di Johor bagi memperkukuh infrastruktur hospital dan kebajikan petugas, kata Menteri Besar Johor.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara berkenaan telah dipersetujui dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada pertemuan di Putrajaya, mereka memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian tiga hospital utama, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai.

“Hasil perbincangan turut mencapai persetujuan supaya Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK) Cendana perlu diperkukuh dan ditambah tenaga kerja serta peralatan sebelum dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan,” katanya.

Bukan sekadar itu,  sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

“Kerajaan Negeri dan KKM sentiasa komited memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan rawatan yang adil, cekap dan berkualiti serta menjaga kebajikan barisan hadapan yang menjadi tunjang sistem kesihatan kita,” katanya.

Onn Hafiz pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan Bangsa Johor, khususnya dalam aspek kesihatan awam.

Semoga segala usaha ini diberkati dan membuahkan hasil demi kebaikan negeri dan seluruh rakyat Johor. Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, beliau mendedahkan Johor berhadapan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang semakin kritikal, dengan seorang jururawat di Johor terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8, khususnya di hospital-hospital utama.

Tegas beliau keadaan itu bukan sahaja membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan moral petugas kesihatan di negeri itu sebaliknya turut memberi kesan terhadap kualiti rawatan yang diterima pesakit. – MalaysiaMADANI