Berita

Usaha besar mendiang Tun Sambanthan terus dikenang

Jasa dan sumbangan besar Menteri Perpaduan Negara pertama, mendiang Tun Thirunyanasambanthan Veerasamy atau lebih dikenali sebagai Tun Sambanthan akan terus dikenang sebagai legenda menyatupadukan masyarakat Malaysia.   

Sebagai manifestasi penghargaan negara terhadap pemimpin yang telah memperjuangkan keutuhan masyarakat Malaysia yang majmuk, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia telah menganjurkan ‘Program Mengenang Jasa Mendiang Tun Sambanthan’.

Khidmat bakti pemimpin berjiwa besar itu pastinya akan dikenang sebagai individu memperjuangkan akses pendidikan, hak pekerja ladang dan pemerkasaan komuniti luar bandar dengan penuh semangat kesamarataan. 

Sebagai Menteri Perpaduan pertama Malaysia iaitu pada 1972 hingga 1974, mendiang Tun Sambanthan berjaya membuka dasar-dasar yang menjunjung perpaduan nasional. 

Penganjuran program penuh bermakna itu telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Dalam ucapannya, Aaron menekankan bahawa perjuangan Tun Sambanthan bukan sahaja harus dikenang, tetapi perlu terus hidup dalam jiwa dan tindakan generasi hari ini.

Beliau dengan penuh bangga menyatakan mendiang Tun Sambanthan sebagai ‘arkitek’ kepada semangat kerjasama antara etnik yang berjaya di negara ini.

“Ia membuktikan formula perpaduan merupakan satu-satunya jalan membina sebuah negara bangsa yang bersatu dan merdeka,” jelas beliau. -MalaysiaMADANI