Berita, Siaran Media

PM dijangka umum penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia

Satu pengumuman penting dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘hadiah’ yang bakal diberikan kepada rakyat Malaysia.

Menerusi satu hantaran di akaun media sosial Facebook miliknya, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa ia sebagai suatu penghargaan luar biasa kepada seluruh masyarakat.

Dalam hantaran ringkas tersebut, Perdana Menteri turut menyatakan kebersamaannya dengan orang ramai menerusi ‘Bersama Malaysiaku’ dalam kenyataan itu.

Namun begitu, tiada pemakluman secara terperinci mengenai pengumuman tersebut dan ramai menyatakan ia mungkin satu kejutan buat rakyat Malaysia. 

Terdahulu pada Isnin, Perdana Menteri dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengadakan perjumpaan tertutup bagi membincangkan beberapa isu termasuk persediaan parti untuk sidang Parlimen yang akan datang.

Pertemuan berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat lalu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memberi bayangan berhubung pengumuman yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri.

Katanya, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pertemuan tertutup melibatkan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen PH, baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga telah menyatakan pandangannya dalam pertemuan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen PH tersebut.

“Saya sudah sampaikan apa yang perlu dikatakan, jadi tunggu berita selanjutnya. Akan ada pengumuman dalam masa beberapa hari lagi,” ujarnya. -MalaysiaMADANI