Berita

Terus kekal hubungan baik Malaysia, Amerika Syarikat -PM

Hubungan baik serta kerjasama erat Malaysia dan Amerika Syarikat yang dicapai selama ini membuka ruang kepada perkongsian strategik komprehensif lebih besar pada masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkembangan positif tersebut selepas menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.

Beliau berkata, pertemuan itu jelas mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk melonjak hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat ke tahap perkongsian strategik komprehensif.

“Ia membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan. 

“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata beliau dalam satu hantaran di media sosial.

Perdana Menteri juga menegaskan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus oleh Amerika Syarikat seperti yang diumumkan Presiden Donald Trump. 

Jelas beliau, Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia.

“Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun,” kata beliau.

Akhir pertemuan, Perdana Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, Oktober ini.

Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan Amerika Syarikat bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan. -MalaysiaMADANI