Perdana Menteri menegaskan Malaysia kekal komited memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada, merangkumi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
Pengumuman itu dibuat semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan rasmi ke Paris.
Kesempatan itu digunakan menghubungi Perdana Menteri Mark Carney, untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada, baru-baru ini.
“Saya menyambut baik penglibatan berterusan PETRONAS dalam projek LNG Canada, yang merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan,” kata beliau menerusi catatan di laman sosialnya pada Jumaat.
Sebagai anggota CPTPP, kata beliau, Malaysia dan Kanada berkongsi tekad dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.
Beliau menegaskan, Malaysia turut menyuarakan harapan agar Kanada dapat mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala.
“Kami juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama.
“Saya turut menjemput PM Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara,” jelas beliau. -MalaysiaMADANI