Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyelaras bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli, berhampiran Tasik banding, awal pagi tadi.
Menerusi perkongsian di media sosial, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berduka ketika menerima perkhabaran nahas tragis.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
“Saya telah arahkan KPT menyelaraskan bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa,” katanya.
Beliau menegaskan, musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati. Usah terburu-buru mengejar destinasi.
“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan 15 orang disahkan meninggal dunia dalam kemalangan tragis kira-kira 1.10 pagi membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur- Barat )JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Bas tersebut yang membawa pelajar UPSI sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan awal berkenaan kemalangan membabitkan pelajar universiti itu dan memohon seluruh warga UPSI serta masyarakat mendoakan supaya urusan dipermudahkan.
“Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara itu.
“Pihak UPSI sentiasa prihatin kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaMADANI