Malaysia terus konsisten bersama Turkiye dan berpendirian teguh dalam memperjuang dan mempertahankan hak dan maruah rakyat Palestin, kata Perdana Menteri.
Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan sambil menyatakan
penghargaan kepada pemimpin itu atas suara dan pendirian teguh yang konsisten dalam memperjuangkan suara warga Palestin yang tertindas.
“Kami sepakat saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh,
Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdoğan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya.
Panggilan berkenaan dibuat bagi menyampaikan salam sempena sambutan Aidiladha.
Dalam perbualan berkenaan Anwar berkata, Endorga turut berbicara mengenai kunjungan rasminya ke Malaysia baru-baru ini.
Beliau menyifatkan lawatan berkenaan antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara kerana tidak sekadar pertukaran protokol semata-mata tetapi turut disulami dengan rundingan substantif yang menyentuh kepentingan bersama.
“Saya melihat kunjungan itu sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu kedua-dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, terutamanya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia.
Katanya, dalam semangat Aidiladha pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan Ilahi, Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan. – MalaysiaMADANI