Inisiatif global yang diketengahkan oleh China boleh membuka ruang baharu untuk pembaharuan dan kerjasama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kepimpinan Presiden Xi Jinping yang lantang membicara soal prinsip perkongsian kemakmuran telah mengangkat nilai ketamadunan dan kemanusiaan sejagat.
“Prinsip dan pendirian Jinping nyata berbeza dengan sikap segelintir negara yang mula meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab, menghalakan keutamaan untuk mengasah perseteruan dan mempersenjatakan ekonomi.
“Saya ulangi rasa hormat dan penghargaan atas kepimpinan Presiden Xi yang lantang membicarakan soal prinsip perkongsian kemakmuran dan mengangkat nilai ketamadunan dan kemanusiaan sejagat.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meraikan kunjungan Jinping bersama delegasi China ke Seri Perdana dalam majlis makan malam sempena lawatan negara ke Malaysia.
Terdahulu, Jinping telah diberikan majlis sambutan negara disusuli sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Lawatan negara tiga hari ke negara ini yang bermula Selasa adalah undangan Sultan Ibrahim akan berakhir hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia melihat China kekal sebagai rakan yang rasional, stabil dan berprinsip.
Malah, Malaysia, menghargai kestabilan ini dan akan terus menjadi sahabat, berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan.
Tambah beliau, lawatan Jinping adalah simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia-China yang telah terjalin dan keakraban ini terus utuh atas sikap kepercayaan, hormat dan kejujuran.
Beliau pada masa sama berharap persahabatan Malaysia-China akan mekar demi keharmonian kedua-dua negara.
“Moga persahabatan Malaysia-China terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit, dan segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan.
“Pepatah Melayu menyebut, air dicincang tidak akan putus. Begitu juga ikatan antara Malaysia dan China yang diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai,” katanya. – MalaysiaMADANI