Kementerian Ekonomi diminta memberi perhatian kepada 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan terutama berkaitan projek tebatan banjir.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Setiausaha Negara serta barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Turut menarik perhatian beliau adalah pembinaan segera membina Hospital Tuanku Jaafar 2 di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
“Justeru itu, saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan,” katanya.
Mesyuarat berkenaan tegas beliau antara lain berfungsi sebagai wahana untuk menilai pelbagai projek pembangunan negeri dalam aspek infrastruktur asas seperti pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir dan pengurusannya, alam sekitar dan sumber air.
Katanya, setiap projek yang direncana perlu dilaksanakan dengan sinergi yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan.
Malah, kerenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek mesti diminimakan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.
Beliau pada masa sama yakin perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, mampu memberi limpahan manfaat kepada warga Negeri Sembilan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaMADANI