Berita

Lepasan SPM berpeluang teroka TVET

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mempunyai peluang luas untuk meneroka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejajar dengan minat dan kecenderungan masing-masing, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET itu berkata, sehingga kini sebanyak 1,398 institusi TVET di negara ini  merangkumi 673 institusi TVET awam, 697 swasta dan 28 di bawah kerajaan negeri serta menawarkan pelbagai bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja semasa.

“Peluang menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui sistem UP_TVET.

“Sistem ini UP_TVET Flexi yang dibuka sejak Januari lalu membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal mengikut kesesuaian jadual masing-masing, manakala UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula, permohonan akan dibuka pada April ini,” katanya.

Beliau menegaskan, sebagai peneraju utama dalam pembangunan tenaga mahir luar bandar turut menyediakan pelbagai program TVET yang menepati keperluan industri negara.

Sebanyak 280 institusi di bawah KKDW menawarkan 529 program daripada peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa.

Katanya, kerangka Sistem Pendidikan TVET KKDW telah melahirkan ramai tenaga pekerja, profesional, teknologi dan usahawan yang berjaya. Kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW juga mencapai 98 peratus tahun lalu ini sekali gus membuktikan TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas tetapi mampu membentuk masa depan yang cerah.

Justeru beliau menyeru pelajar dan ibu bapa agar merebut peluang yang disediakan membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. – MalaysiaMADANI