Berita

Juadah unik di Majlis Makan Malam AMM: Jurumasak kongsi seni kulinari Kerabu Bronok

Bagi masyarakat tempatan Langkawi kerabu bronok adalah hidangan ringkas yang boleh di makan bersama nasi atau dijadikan hidangan sampingan.

Hidangan tempatan eksotik yang unik ini disediakan menggunakan spesies timun laut yang dikenali  Acaudina molpadioides.

Rasa bronok segar yang kenyal disaluti ulam-ulaman segar yang dihiris nipis bersama kelapa parut yang digaul menjadikan hidangan tersebut sangat menyelerakan.

Bersempena Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung di Langkawi, lebih 200 delegasi negara anggota dihidangkan sebagai memperkenalkan Langkawi dan sajian warisan tempatan majlis makan malam alu-aluan Sabtu lalu.

Bagi chef yang bertanggungjawab menyediakan hidangan istimewa berkenaan, Rozaina Rohimi, perasaan takut dan teruja bergabung ketika menyediakan hidangan eksotik kepada delegasi asing sekali gus memperkenalkan hidangan warisan negara ini.

“Ini adalah cita rasa warisan yang perlu kita tonjolkan, pada awalnya saya rasa takut tapi dalam masa sama saya bangga kerana ini adalah hidangan warisan yang perlu diperkenalkan kepada orang luar yang datang ke tempat kita,” katanya ketika ditemui Malaysia MADANI baru-baru ini.

Dia yang mendapat sokongan daripada 25 pasukan kulinari di sebuah hotel di peranginan di Pantai Cenang berkata, penyediaan dalam menghasilkan kerabu bronok memerlukan proses yang teliti bagi menjaga kesegaran dan kualiti hidangan eksotik berkenaan.

“Persiapan saya membabitkan pemilihan bahan-bahan yang segar dan proses yang teliti sangat ditiik beratkan bagi memastikan delegasi dapat merasai keaslian cita rasa hidangan ini.

“Proses penyediaan juga perlu lebih teliti bagi menjadikan hidangan ini  kekal  segar untuk tetamu,” tambahnya.,” ujarnya.

Akui wanita hebat berusia 50 tahun itu sebanyak 10 kilogram telah ditempah pembekal tempahan bagi tujuan penyediaan hidangan makan malam istimewa berkenaan.

Selain kerabu bronok delegasi juga turut dihidangkan dengan hidangan Latok, sejenis rumpai laut yang dijadikan salad.

Berkongsi lanjut, Rozaina yang lebih selesa dipanggil mama dalam kalangan pasukannya berkata, penyediaan Kerabu Bronok memerlukan masa kerana  bahan utama iaitu gamat tersebut  perlu dipotong dan dibersihkan.

Tambahnya lagi, pihaknya juga membuat persediaan lebih awal dan rapi untuk menyediakan hidangan berkenaan supaya keadaan lebih terurus dan mudah.

Malah dia menggunakan asam jawa ketika membersihkan bahan utama tersebut bagi mengeluarkan bau hanyir dan selut yang terdapat dalam spesies gamat berkenaan.

Tambahnya, pengalaman menyediakan hidangan warisan ini merupakan kenangan indah sepanjang bekerja dan akan dikenang sampai bila-bila.

“Inilah adalah momen indah sepanjang kerjaya saya di bidang perhotelan inidan akan dikenang sampai bila-bila,” ujarnya. – MalaysiaMADANI