Berita

Kerajaan perkukuh pemantauan dan operasi menyelamat


Kerajaan mengambil beberapa langkah bagi memastikan pengurusan banjir berjalan lancar, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mereka yang terjejas banjir terus terpelihara.

“Kita amat prihatin terhadap situasi banjir yang melanda beberapa negeri yang mengakibatkan rakyat terjejas. Kerajaan juga  berusaha sedaya untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Kecemasan Penyelarasan Bencana Banjir di ibu pejabat Majlis Keselamatan Negara bersama agensi-agensi yang terlibat.

Sehingga 12 tengah hari tadi, tujuh negeri melibatkan 22 daerah telah terjejas dan seramai 41,506 mangsa daripada 12,520 keluarga kini ditempatkan di 325 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kelantan mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 30,533 orang daripada 9,222 keluarga ditempatkan di 156 PPS. Daerah Pasir Mas paling terjejas dengan 12,131 mangsa. Sementara itu, Terengganu membuka 150 PPS, dengan jumlah mangsa tertinggi dicatatkan di daerah Besut dan Hulu Terengganu.
Sebanyak 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPP) di seluruh negara telah siap siaga untuk menampung sehingga 2.1 juta mangsa sekiranya diperlukan.

Buat masa ini 448 PPS dibuka di Kelantan yang mampu menampung seramai 175,493 mangsa, manakala di Terengganu, 749 PPS disediakan dengan kapasiti untuk menampung seramai 214,711 mangsa.

Selain itu, seramai 82,794 anggota penyelamat, termasuk 28,444 anggota bomba, 17,089 ATM, 17,216 PDRM, 15,064 APM dan 4,981 RELA telah digerakkan untuk menjalankan operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir.

Ahmad Zahid menambah, kerajaan juga melibatkan pelbagai pihak, termasuk  pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan komuniti setempat seperti Persatuan Pacuan 4×4, Persatuan Radio Amatur dan Persatuan Belia, untuk menyokong usaha penyelamatan dan pemindahan.

Langkah berkenaan jelas beliau bukan sahaja memperkukuh operasi di lapangan tetapi juga memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas dan efektif kepada mangsa.

Dalam menghadapi cabaran fenomena air pasang besar, Kerajaan telah mengambil langkah kesiapsiagaan awal dengan melaksanakan sistem amaran bencana.

Malah katanya, kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, dan agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba terus diperkukuh bagi memastikan kelancaran operasi.

“Saya ingin menasihati rakyat agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga. Jika berada dalam keadaan kecemasan, hubungilah pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan bantuan segera.

“ Saya juga menyeru semua pihak untuk mendapatkan maklumat terkini hanya melalui portal rasmi seperti portalbencana.nadma.gov.my dan mengelak menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta panik dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaMADANI