Penganjuran Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dikunjungi dengan jumlah yang membanggakan iaitu 343,294 pengunjung.
Jumlah berkenaan merangkumi tiga hari penganjuran yang bermula Jumaat, 22 hingga 24 November lalu yang bermula 9 pagi hingga 6 petang.
Program 2TM menghimpunkan semua kementerian dan dirangka khusus untuk memberikan pendedahan secara terus kepada rakyat, dengan menguar-uarkan inisiatif, dasar baharu kerajaan serta pencapaian yang diterima sepanjang dua tahun pentadbiran.
Untuk rekod, pada hari pembukaan 22 November lalu program penuh ikonik telah dikunjungi 85,217 pengunjung.
Pada hari kedua yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri merekod kunjungan seramai 117,912 pengunjung.
Manakala hari terakhir penganjuran iaitu Ahad mencatatkan 140,165 pengunjung yang hadir bagi mendapatkan pelbagai inisiatif secara langsung yang disediakan kerajaan MADANI kepada semua golongan masyarakat.
Pendekatan program sebegini yang menghimpunkan semua kementerian ‘di bawah satu bumbung’ dilihat sebagai langkah sesuai kerana menjimatkan masa orang ramai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.
Lebih menarik, penganjuran Jualan MADANI yang menawarkan harga barangan 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran turut membantu menjimatkan kos perbelanjaan orang ramai.
Diskaun kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus dan penukaran topi keledar lama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus menjadi tumpuan ramai.
Tidak ketinggalan dengan karnival kerjaya MYFuture Jobs yang menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai kekosongan jawatan.
Lebih menarik penganjuran kali ini apabila masyarakat juga berpeluang untuk bersemuka dan mengutarakan pandangan menerusi sesi townhall bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaMADANI