Sejumlah 402,956 calon yang mendaftar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan bermula 2 Disember ini hingga 6 Februari depan.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, Ujian Bertutur Bahas Melayu dijadual pada 2 hingga 5 Disember, diikuti Ujian Amali Sains pada 9 hingga 12 Disember manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16 hingga 19 Disember.
“Ia akan diikuti Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 31 Disember seterusnya Peperiksaan Bertulis dijadual pada 21 Januari hingga 6 Februari depan.
“Keseluruhan seramai 402,956 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2024 di 3,337 buah pusat peperiksaan seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KPM berkata, bagi menjaga keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan pihaknya sentiasa bersiap siaga mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Katanya, calon dinasihatkan memaklumkan pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) sekiranya tidak dapat hadir disebabkan oleh bencana.
Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
“Semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” ujarnya.
Sejumlah 126,636 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan. – MalaysiaMADANI