Berita, PROGRAM DUA TAHUN KERAJAAN MADANI

‘Kerajaan Madani bukan sekadar slogan tetapi perjuangan cipta Malaysia lebih baik’

Kerajaan Madani sentiasa komited dalam melakukan pelbagai usaha untuk kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun dalam tempoh itu pelbagai tekanan diterima namun kerajaan terus mengorak langkah untuk memberi yang terbaik kepada rakyat.

“Dua tahun mungkin terasa singkat, tetapi ia adalah tempoh yang penuh dengan cabaran, pembelajaran, dan kejayaan. Kerajaan Madani dibina atas asas perpaduan, keadilan, ketelusan dan kepedulian kepada rakyat.

“Dalam tempoh ini, kita telah sama-sama berusaha memastikan agenda ini dilaksanakan dengan penuh rahmah dan amanah,” katanya.

Tegas beliau, Kerajaan Madani bukan sekadar slogan tetapi sebuah perjuangan untuk mencipta Malaysia yang lebih baik untuk generasi sekarang dan masa depan.

Bagaimanapun katanya masih ada ruang untuk penambahbaikan dan sentiasa mendengar suara rakyat .

“Saya tahu, masih ada ruang untuk penambahbaikan dan semestinya seluruh warga KPKM akan terus komited untuk belajar serta memperbaiki diri.

“Apa yang penting, Kerajaan Madani akan sentiasa mendengar suara rakyat dan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan adalah berpaksikan kepada keperluan dan kebaikan rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak bersama-sama menjayakan agenda Malaysia Madani yang terajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau pada masa sama mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama memeriahkan acara 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 November 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Berkongsi mengenai kementerian yang diterajui beliau menjelaskan, sebanyak 11 tindakan berjaya dilaksanakan antaranya penanaman bawang secara besar-besaran, meningkatkan pengeluaran nanas dan juga mengeksport durian segar ke China .

Selain itu, kementeriannya  juga melakukan penstrukturan semula subsidi ayam selain memperluas program Jualan Agro Madani supaya rakyat mendapat akses bekalan makanan dengan harga yang menjimatkan.

Malah kerajaan turut meneruskan pemberian elaun sara hidup dan subsidi diesel kepada nelayan serta bantuan tunai bulanan melalui Skim Budi Madani Agro Komoditi kepada petani.

Pada masa sama, kerajaan juga memberikan subsidi beras import kepada penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan serta memulakan reformasi padi dan beras. – MalaysiaMADANI