Berita

PM bentang Belanjawan 2025 petang ini

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pukul 4 petang ini. 

Pembentangan ini merupakan belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang. 
 
Pembentangan Belanjawan 2025 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial pada pukul 4.00 petang ini. 

Kenyataan prabelanjawan 2025 yang disiarkan dalam laman sesawang khas Belanjawan Kementerian Kewangan memaklumkan, Belanjawan 2025 kali ini akan memberi tumpuan kepada teras utama kerangka Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam. 
 
Selain itu tumpuan juga berfokus kepada isu inflasi dan kenaikan gaji dalam belanjawan yang akan datang. 
 

Pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan peniaga, pelabur dan penganalisis ekonomi, sedang menantikan belanjawan ini dengan harapan ia akan membawa pendekatan menyeluruh dan progresif, terutama dalam menangani cabaran global serta memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia. 

Pada 7 Oktober lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi MADANI. 

Beliau menegaskan lebih banyak penambahbaikan struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam belanjawan itu untuk memastikan pertumbuhan pesat ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat secara saksama.

Semalam, ketika membuat tinjauan persiapan beliau menyifatkan kesiapsiagaan bagi pembentangan Belanjawan Madani ketiga 2025 berjalan rapi dan akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi serta memberi keadilan kepada rakyat terbanyak. – MalaysiaMADANI