Berita

Sektor pembuatan di Wilayah Tengah perkukuh kedudukan negara – PM

PEMBANGUNAN kluster industri khusus dalam sektor pembuatan di Wilayah Tengah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka) perlu diberi keutamaan sebagai inisiatif strategik Kerajaan MADANI bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam hab pelaburan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan telah dipersetujui ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 7 Tahun 2024.

“Perkara itu antara yang telah dipersetujui secara dasar hatta saya tekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam mempromosikan Wilayah Tengah secara bersama.

“Ini penting dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke kawasan-kawasan tumpuan di setiap negeri, mempercepatkan pelaksanaan projek sekaligus menambahbaik ‘ease of doing business’ dengan pengurangan karenah birokrasi,” katanya.

Pada majlis sama MPN juga bersetuju agar Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) meneruskan pelaksanaan inisiatif ujikaji peraturan.

Katanya ia diyakini meningkatkan produktiviti dan kecekapan penyampaian peraturan di semua peringkat Kerajaan termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Prakarsa ini perlu diteruskan dan juga diperluaskan berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan terutamanya dalam penjimatan masa dan kos,”katanya.

Ini juga akan meningkatkan pelaburan yang seterusnya meningkatkan hasil PBT terutama dalam urusan permit pembinaan serta pengurusan tanah melalui pendekatan Industrial Green Lane seperti yang telah dilaksanakan di Kulai, Johor dan Kulim, Kedah. – MalaysiaMADANI