Berita

‘Landasan tepat capai status negara maju’

Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan susulan pengumuman Bank Dunia yang meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus untuk tahun ini daripada jangkaan awal sebanyak 4.3 peratus sebelum ini. 
 
Tegas beliau banyak perkembangan yang positif dapat dilihat sepanjang dalam tempoh dua tahun penubuhan kerajaan Perpaduan terutamanya dalam aspek pertumbuhan ekonomi. 

“Kejayaan ini dipacu oleh keberkesanan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, pengukuhan pelaburan dan perdagangan serta kestabilan politik yang berjaya diwujudkan. 

“Nilai ringgit juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Pada Julai 2024, ringgit meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar AS, jauh mengatasi prestasi dolar Singapura, baht Thailand, dan rupiah Indonesia yang hanya mencatatkan peningkatan purata satu peratus,” katanya. 

Malah,  jumlah pelaburan yang diluluskan juga melonjak kepada RM160 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat 18 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023. 

Selain nilai dagangan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 18.6 peratus pada Ogos, tertinggi dalam tempoh 22 bulan. 

Katanya, kadar inflasi juga menurun kepada 1.9 peratus dan kadar pengangguran stabil pada 3.3 peratus dengan 190,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada suku kedua tahun. 

“Masih banyak lagi pencapaian cemerlang yang kita boleh banggakan sebagai rakyat Malaysia. Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan, nilai dagangan melonjak, rizab Bank Negara Malaysia meningkat penyeludupan diesel berjaya dikekang dan banyak lagi,” katanya. – MalaysiaMADANI