Berita

2,755 buah rumah di Sarawak nikmati elektrik Skim SARES Fasa 2 

SEBANYAK 2,755 buah rumah dari 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak kini menikmati bekalan elektrik menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (SARES) Fasa 2. 
 
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, projek Fasa 2 ini adalah kesinambungan daripada kejayaan Fasa 1 yang memberikan manfaat kepada 1,429 isi rumah. 
 
“Saya amat terharu mengetahui impian keluarga di Kapit untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik akhirya menjadi kenayatan sekali gus mengakhiri penantian lebih 30 tahun menikmati keperluan asas ini,” katanya. 
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Skim Bekalan Elektrik Luar bandar Sarawak (SARES) fasa 2 . 
 

Majlis turut disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, serta Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Berhad. 

Projek SARES, bermula sejak 2016, membekalkan elektrik kepada kampung-kampung terpencil melalui sistem janakuasa solar dan mikro-hidro melalui sistem janakuasa solar dan mikro-hidro dan Sarawak Energy Berhad (SEB) kini bertanggungjawab terhadap operasi dan penyelenggaraan projek tersebut. 
 
Namun bagi Fasa 2, projek berkenaan dilaksanakan bermula 22 Oktober 2020 dan siap sepenuhnya pada 21 Jun tahun lepas. 
 
Ia dilaksanakan di bawah Program BELB Bahagian Prasarana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kontraktor pelaksana iaitu SEB. 
 
Rubiah menjelaskan, kerjasama berkenaan  mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan pembangunan mampan luar bandar selain bertujuan meningkatkan keselesaan hidup dan taraf sosio-ekonomi masyarakat di kawasan terpencil. 

Beliau pada masa sama yakin inisiatif berkenaan dapat menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, dan mampu merangsang aktiviti perniagaan dan beberapa sektor utama seperti agrikultur berteknologi tinggi, industri kecik dan sederhana serta eko-pelancongan. – MalaysiaMADANI