JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) diarah untuk mengkaji semula prosedur operasi Standard (SOP) penyediaan dan penyebaran maklumat nasihat atau amaran cuaca supaya maklumat yang dikeluarkan lebih kerap ketika cuaca dijangka menjadi ekstrem.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Meteorologi perlu menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih berkesan.
“ini penting supaya orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan dapat mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kementerian mengambil maklum laporan media yang menyatakan METMalaysia tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang telah dikeluarkan lima hari terdahulu masih lagi efektif,” katanya.
Fasa Peralihan Monsun telah bermula minggu ini dan akan berterusan hingga awal November, menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya.
Beliau berkata, semasa Fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai arah.
Situasi tersebut boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. – MalaysiaMADANI