Berita

Penjimatan subsidi akan dikembalikan kepada rakyat – PM

Perdana Menteri berkata, hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi akan dikembalikan kepada rakyat terutama dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi impak besar kepada rakyat. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan sehingga kini masih menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia dan tidak berhasrat untuk menghapuskan. 

“Apa yang dilakukan pada masa ini adalah bagi memastikan pengurusan subsidi lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan yang selayaknya. 
 
“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi kesan terbesar kepada rakyat,” katanya. 

Beliau menjelaskan tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak. 

Lantaran itu, Kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbangi dengan perkara berkaitan kos sara hidup rakyat.  
 
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 6.4 juta liter diesel bersubsidi yang bernilai RM14.2 juta berjaya dirampas menerusi OPs Tiris yang digerakkan sejak 1 Mac tahun lalu.

Malah, sehingga 14 Jun 2024, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng. – MalaysiaMADANI