Berita

PATI digesa ambil peluang Program Repatriasi Migran, pulang sukarela

Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di negara ini dan terlibat dengan kesalahan imigresen tertentu berpeluang untuk pulang ke negara asal secara sukarela dengan kadar kompaun yang lebih rendah menerusi Program Repatriasi Migran.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, program yang berlangsung selama 10 bulan mulai hari ini (1 Mac) hingga 31 Disember ini merupakan program pengampunan untuk memudahcara golongan ini pulang ke negara asal secara sukarela.

“Program ini yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga.

“Ia bertindak sebagai satu mekanisme pembanterasan PATI dalam negara dan ini secara tidak langsung akan memperbaiki stigma dalam kalangan PATI untuk pulang secara sukarela berbanding ditangkap dan diusir pulang melalui operasi penguatkuasaan,” katanya.

Justeru, mana-mana PATI yang sukarela mahu pulang perlu membuat persedian dan hanya perlu hadir menyerah diri ke JIM bagi mendapat manfaat daripada inisiatif khas Kerajaan MADANI.

Katanya, mereka hanya perlu membawa dokumen ketika berurusan di pejabat Imigresen ialah tiket penerbangan pulang dan dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan oleh negara asal atau kedutaan negara masing-masing yang berada di negara ini.

“Bagi mereka yang tiada sebarang dokumen, mereka perlu merujuk pihak kedutaan masing-masing untuk mendapatkan apa-apa dokumen yang membolehkan mereka pulang ke negara asal,” katanya lagi,

KDN juga berharap mana-mana PATI yang sukarela pulang bersama keluarga juga mempunyai masa sebagai persediaan ke arah itu.

“Kerajaan amat menghargai kerjasama dari mereka agar memudahkan proses kembali ke negara asal,” katanya. – Malaysia MADANI