Berita

Hari Kraf Kebangsaan 2024 perkasa produk kraf tempatan

Bagi menghargai sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam membangunkan serta memperkasa produk kraf Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia telah menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) bagi tahun 2024.

MOTAC dalam kenyataan memaklumkan penganjuran kali ke-21 sejak 21 Februari hingga 4 Mac depan bukan sahaja menghimpunkan semua produk kraf tetapi juga adalah bertujuan mempromosikan seni dan dunia kraftangan Malaysia.

“Tujuan utama HKK semestinya tidak lain tidak bukan adalah untuk membantu pengusaha kraf menjana pendapatan serta meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

“Puluhan aktiviti menarik disediakan dalam menampilkan kepelbagaian produk kraf tempatan yang bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ yang diketengahkan oleh usahawan dan komuniti kraf dari seluruh Malaysia,” katanya yang dimuat naik di laman Facebook MOTAC, 13 Februari lalu.

Meskipun berbaki lebih 10 hari lagi, pengunjung masih berpeluang melihat hasil seni pengusaha kraf yang memiliki kreativiti tersendiri dalam menghimpunkan pelbagai rekaan hasil tangan mereka.

Antara aktiviti menarik yang boleh diperoleh di HKK termasuklah Jualan Produk Kraf, Pameran Tokoh Kraf Negara 2024 dan banyak lagi

Tidak ketinggalan, pelbagai jenis pameran dan demontrasi disediakan antaranyaa Pameran Standard Kraftangan Malaysia, Pameran Pavilion Institut Kraf Negara (IKN) serta Pameran Produk Kraf Baharu turut disediakan dalam HKK kali ini.

Malah pengunjung turut didedahkan dengan demonstrasi pembuatan produk kraf menggunakan rotan, kayu, mengkuang, ribu-ribu, tekatan, dan manik.

Jadi sempena cuti sekolah yang masih berbaki, anda dijemput beramai-ramai memeriahkan lagi HKK yang berlangsung Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay yang dibuka 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari sehingga 4 Mac depan. – Malaysia MADANI