DUNGUN: Kerajaan menyasarkan 60 peratus penyertaan tenaga kerja wanita dalam pelbagai sektor di negara ini menjelang tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata kadar guna tenaga wanita di negara ketika ini adalah pada tahap 55 peratus dan ia boleh ditingkatkan kepada 60 peratus dengan pelbagai sokongan dan inisiatif oleh kerajaan MADANI.
Beliau berkata ia sejajar dengan perkembangan dan revolusi dunia hari ini yang memerlukan sumbangan wanita dalam dunia pekerjaan demi pembangunan sosioekonomi negara.
“Laporan Forum Ekonomi Dunia 2020 menyatakan wanita Malaysia sangat kreatif, mampu berkomunikasi dengan baik dan keupayaan menyelesaikan masalah yang mengagumkan.
“Di KKDW sendiri terutama di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kita ada pelbagai program peningkatan dan keusahawanan untuk memajukan wanita seperti Quick Win,” katanya.
Rubiah berkata demikian pada program Himpunan MADANI sempena Sentuhan Kasih Desa Terengganu 2023 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini pada Jumaat.
Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah KEMAS Terengganu Dr Faridah Mat.
Selain itu, Rubiah berkata kerajaan juga menyasarkan penglibatan 30 peratus golongan wanita dalam bidang profesional pada masa depan.
Beliau berkata dengan pelbagai peluang, ruang dan bantuan diberikan oleh kerajaan MADANI kepada golongan wanita, sasaran itu diyakini mampu dicapai dalam tempoh tidak lama lagi.
Terdahulu, Rubiah menyertai sesi senaman pagi bersama 5,000 beliawanis dan wanita dari sekitar daerah ini.
— BERNAMA